SEJARAH
Kampung Bintangor penempatannya dibuka pada tahun 1896 dan Ia terletak kira-kira 22 kilometer dari Sarikei dan lebih kurang 50 kilometer dari Sibu. Penduduk ke Kampung Bunut Ulu kerana tanah di Kampung Bintangor pada masa itu tidak sesuai untuk tanaman padi. Penduduk yang berhijrah ke Bunut Ulu dipanggil oleh Raja Brooke untuk menetap di Kampung Bintangor. Ini adalah kerana, mereka dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan pedagang-pedagang dari Sibu dan Sarikei yang sering dirompak di Bintangor. Kedudukan Bintangor yang berada di tengah Sarikei dan Sibu menyebabkan Bintangor sebagai kawasan strategik kepada perompak-perompak pada masa dulu. Asal-usul nama Kampung Bintangor ialah Kampung Binatang. Pelbagai jenis binatang aneh yang tidak pernah dijumpai datang dan berhijrah hanya untuk makan buah 'engkabang'. Oleh hal yang demikian penduduk setempat memberikan nama kampung ini sebagai Kampung Binatang
. Pada tahun 1984 Kerajaan Sarawak mengarahkan nama bagi Daerah Binatang ditukar bagi menangani masalah sensitiviti nama tempat di Sarawak. Setelah mendapat persetujuan nama Daerah Binatang ditukar kepada Meradong dan manakala nama rasminya ialah Bintangor yang diambil sempena dengan nama pokok yang banyak tumbuh di situ. Pokok Bintangor yang dipercayai boleh menjadi penawar dan menjadi ubat kepada penyakit AIDS. Nama Meradong pula diambil sempena nama sungai yang mengalir di pertengahan daerah Kampung Bintangor. Selain itu, buah Limau Bintangor juga sangat terkenal di Sarawak dan sehubungan dengan itu, maskot bagi Bintangor ialah buah limau Bintangor.
Pengangkutan utama digunakan pada zaman dahulu ialah basikal dan beca untuk kemudahan pergerakan rutin harian. Terdapat beberapa buah kampung yang agak besar populasinya di sekitar Bintangor dan menetap di situ sehingga sekarang antaranya ialah Kampung Abang Ali, Kampung Abang Amin, Kampung Muhibbah, Kampung Jalan Sekolah, Kampung Bidadari dan Kampung Gelam Penempatan untuk perkampungan Iban pula ialah Kampung Pilit, Kampung Turak, Kampung Gemuan dan Kampung Selidap. Perkampungan Cina juga turut bekembang sehingga sekarang setanding dengan kaum lain. Kemudahan seperti jalan darat dan air digunakan sebagai penghubung diantara kampung dan pekan Bintangor. Antara kampung yang menggunakan pengangkutan air untuk sampai ke Bintangor ialah Kampung Tanjung Bundong, Kampung Selemas, dan Kampung Lebaan dengan menggunakan bot atau perahu. Penduduk setempat pada dahulunya, mendapatkan sumber pendapatan melalui bercucuk tanam secara kecil-kecilan untuk menyara keluarga dan bukan untuk jual beli. Tetapi keadaan berubah mengikut keperluan semasa dan menjadikan aktiviti pertanian sebagai sumber pendapatan dan wujudnya aktiviti jual beli sehingga sekarang antaranya ialah padi, limau, nanas, koko, getah, pisang dan kebanyakannya menerusi pertanian.
Kemudahan lain yang disediakan ialah seperti telefon awam, tandas awam, dewan masyarakat, kompleks sukan, perpustakaan awam, balai polis, balai bomba, pejabat pos, klinik kesihatan, pasar tani, kedai runcit, masjid, gereja dan kemudahan pengangkutan bas dan elektrik sudah mula menapak di Bandar Bintangor sejak dahulu lagi.
No comments:
Post a Comment